Suatu kisah yang berlaku di zaman Sahabat semasa pemerintahan Sayidina Umar Ibnu Khattab; buat menunjukkan suasana hati manusia-manusia waktu itu dan bentuk kehidupan yang telah mereka lalui.
Seorang pemuda bernama Hassan keluar dari kampung nya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur.
Setelah sedar dari tidurnya didapati untanya tidak ada. Hassan lalu terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya, tetapi telah mati. Alangkah hairan dan marahnya Hassan.
“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang ada di sisi bangkai unta itu, “Tetapi bukan sengaja,” sambung orang tua itu lagi. “Ketika unta ini memakan tanaman pakcik, pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul dikepalanya. Lepas itu ia berpusing-pusing dan jatuh lalu mati.”
Orang tua itu bercerita menerangkan kejadian yang sebenamya. Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur dengan tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang tua itu dan terpenggallah leher dari badan.
Hassan seakan-akan baru bermimpi tersedar dari kejadian itu dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya.
Dua orang anak lelaki kepada orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Dan Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Amirul Mukminin sendiri yang menjadi hakimnya. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, perbicaraan pun dijalankan.
Sayidina Umar selaku hakim setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di Akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu dalam beberapa hari kerana saya mohon untuk memberitahu ibu bapa saya, anak isteri dan saudara-mara tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini,tentu mereka tak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”
Sayidina Umar kerana tegas dan adilnya menjawab, “Tidak! Tiada jaminan bahawa engkau datang lagi untuk menjalani hukuman ini.” Hassan merayu lagi, “Kasihanilah saya tuan hakim. Semua orang yang mengasihi saya sedang menunggu kepulangan saya. Mereka tentu tertanya-tanya kalau saya tidakpulang memberitahu tentang perkara ini.”
Sekali lagi Sayidina Umar menunjukkan ketegasan dan keadilannya, “Tidak,” katanya. Kali ketiga Hassan merayu, tiba-tiba salah seorang Sahabat bangun dan berkata, “Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum.”
Dengan jaminan yang diberikan oleh Sahabat itu (Abu Zar), Sayidina Umar pun membenarkan hukuman itu ditangguhkan. Dan Hassan pun dibenarkan pulang setelah menentukan tarikh akan datang. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarga nya tentang apa yang berlaku dan berkata, “Biar saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat.” Menangislah ibu bapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan.
Dia lebih takut dan cinta pada Allah daripada anak isteri. Dia lebih cintakan Akhirat daripada dunia.. Di pertengahan jalan tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya. Tetapi sudah lewat.
Di padang tempat hukuman hendak dijalankan kerana kelewatan Hassan semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan.
Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hassan yang datang mereka bertakbir: “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”
Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujumya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang. Sebaik sahaja turun dari kudanya, Hassan menghadap tuan hakim dan berkata, “Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.”
Kemudian katanya lagi, “Sebelum saya dibunuh, izinkan saya bersembahyang dua rakaat.” Sayidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhimya, Hassan berdoa: “Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku di dunia dan di Akhirat.”
Selesai berdoa, Hassan pun menghadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi, pada saat yang genting itu tiba-tiba kedua beradik anak si mati menghadap tuan hakim dan berkata: “Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.”
Mendengar itu sekali lagi padang itu bergema dengan laungan: ‘Allahu Akbar! Allahu Akbar!” Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan di Akhirat. InsyaAllah.
Berdasarkan kisah yang tersurat di dalam kisah ini..banyak pengajaran yang boleh dijadikan renungan dan iktibar bersama...Antaranya...
1. Dari seorang tua yang berani mengaku salah hingga menemui kematian.
2. Kemudian Hassan yang lebih berani mengakui kesalahannya dan menyerahkan diri untuk dibunuh.
3. Kemudian Abu Zar yang berjiwa “sahabat” dan sanggup mati kerananya.
4. Tuan hakim yang tegas dan adil.
5. Akhir sekali dua beradik yang berhati mulia merela dan memaafkan pembunuh ayah mereka.
Dengan hati yang beriman dan berkasih sayang manusia di zaman Sahabat telah menempa satu sejarah yang agung. Dan dengan hati-hati yang beriman, mereka telah berjaya mengangkat Islam setinggi-tingginya sesuai sebagai sifatnya.
Dengan itu mereka bukan sahaja telah menguasai dunia, tetapi sedang menikmati di Alam Barzakh dan akan Allah anugerahkan Syurga. Itulah nasib orang yang bernama mukmin yang sebenar. Sekarang Allah takdirkan giliran kita untuk menentukan nasib dan maruah diri.
Inilah hasil mereka yang dididik dengan Iman. Mereka kenal Allah, mereka cinta Allah lebih dari segalanya, hatta nyawa mereka sendiri. Mereka yang sudah kenal Allah, pastinya mereka mudah menerima hukum-hukum Allah.
Semoga peluang ini kita gunakan sebaik-baiknya untuk menurut jejak langkah mereka yang mulia lagi diredhai untuk turut menikmati kejayaan dan kenikmatan yang telah dan sedang mereka kecapi.
sumbangan ustaz Mohd Fadli Yusof..syukran jazilan moga dapat dijadikan panduan bersama dalam melayari kehidupan yang sementara ini...wallahu 'alam...
Iman... Bagaikan emas permata
Letaknya di dalam jiwa
Kemilau warnanya, bak cahaya
Menyuluh hidup seluruh manusia
Iman letaknya di hati, suburkanlah dengan ilmu
Bajainya dengan zikrullah, ia menunjukkan kita
Jalan diredhai allah
Iman harta yang paling berharga
Iman... Kurnian yang esa,
Tanpa mengira bangsa dan rupa,
Memberi benteng panghalang dosa
Orang yang teguh iman
Sabar dengan ujian
Di akhirat dia insan yang mulia